Carian entri blog
Bandar Seri Putra ada Pemenang Pingat Emas Sukan SEA
Aaliyah juara termuda Sukan SEA
PALEMBANG - Pada usia lima tahun, minat Aaliyah Yoong Hanifah bagaikan tidak boleh dikawal dan dia terlalu teruja dengan sukan ski air selepas melihat abang dan kakaknya, Alex serta Phillipa bermain sukan tersebut.
Kerana tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku ke atas anak sulung hasil perkahwinan kedua bersama Norzeela Sulaiman, Hanifah Yoong Abdullah terpaksa menyekat minat Aaliya, namun dia hanya berjaya melakukannya untuk tiga bulan.
Selepas itu, minat pelajar darjah dua Sekolah Kebangsaan Bandar Seri Putra, Bangi itu terhadap sukan air bagaikan tidak mampu dibendung, dan minat itulah yang membawa Aaliyah melakar sejarah muncul juara termuda dalam sejarah Sukan SEA dengan meraih emas tricks, semalam.
"Saya sangat gembira dapat memenangi emas acara ini. Ketika beraksi, saya cuma menikmatinya dan berusaha mengimbangi badan agar tidak terjatuh," kata atlet termuda pada Sukan SEA XXVI itu.
Aaliyah berkata, sebelum berangkat ke Palembang, seorang gurunya mengucapkan selamat berjuang dan berjanji akan mendoakan kemenangannya walaupun terpaksa 'ponteng' sekolah demi negara tercinta.
"Selepas memenangi emas ini saya akan memberi sokongan kepada atlet lain pula. Saya mahu tengok acara renang," kata atlet cilik yang hanya memiliki berat 28 kilogram dan berketinggian 145 sentimeter itu.
Peminat bintang pop, Justin Bieber itu juga berkata, dia akan meminta bapanya membeli permainan video dan anak patung Barbie sebagai hadiah.
Menurut Hanifah, anaknya sangat luar biasa kerana dua tahun lepas ketika menjalani latihan di sebuah empangan di Beijing, Aaliyah terjun ke empangan tanpa sebarang perasaan takut.
Ibunya, Norzeela pula berkata, pengorbanan anaknya dalam sukan ini amat besar dan agak ketinggalan dalam pelajaran akibat banyak bertanding di luar negara.
"Dia sebenarnya kanak-kanak pintar tetapi kerana kerap bertanding di luar negara, pelajarannya merosot dan dia tidak dapat kekal dalam kelas terbaik. Sebelum itu dia berjaya mendapat A dalam setiap mata pelajaran," katanya. - Utusan
Sumber: http://putra-mahkota.com/forum/index.php?topic=9407.msg86409#msg86409