Carian entri blog
Perkongsian Program Keibubapaan
Ahad lepas, saya dan isteri (termasuk anak-anak) telah dijemput menghadiri program keibubapaan anjuran Sekolah Sri Al-Amin Bangi dan Pusat Pengajian Umum, UKM. Sesi dibahagikan kepada 2 bahagian: penyampaian daripada mantan pengetua sekolah Al-Hidayah, Johor dan forum.
Saya kongsikan beberapa perkara dan slide yang saya perolehi semasa program tersebut.
Pembentang memulakan penyampaian beliau yang bertajuk, Pendidikan Anak-Anak: Satu Amanah Idah dan Bermakna.
Pembentangan dimulakan dengan video anak Malaysia bernama Ashraf yang dipukul dan dirompak di UK baru-baru ini. Menurut Perdana Menteri Britain, David Cameron, antara sebab-sebab berlaku rusuhan adalah kerana sifat mementingkan diri, tiada sikap bertanggungjawab, disiplin yang longgar di sekolah dan keibubapaan yang buruk.
Maka mengikut model pendidikan Islam, ianya bukan hanya mengejar kecemerlangan akademik tetapi juga untuk memupuk anak-anak dari segi fizikal, emosi dan rohani. Proses ini akan membawa anak-anak ini erti kehidupan dan tujuan hidup sebenar mengikut acuan Islam.
Sekolah memainkan peranan dalam mencipta kerangka anak-anak berteraskan Islam. Yang mana sekolah perlu mempunyai visi yang nyata dan praktikal serta mempunyai kepimpinan yang professional dan dinamik. Satu kekurangan yang perlu ditekankan adalah kerjasama antara sekolah dan keluarga. Jalinan ini yang sebenarnya akan membantu perkembangan positif anak-anak. Apa yang telah diajar disekolah, perlu dipraktikkan dirumah. Oleh itu gabungan ibubapa-sekolah adalah penting dimana ibubapa perlu berterusan memantau anak-anak mereka. Serta ibubapa perlu mendokong apa sahaja aktiviti sekolah kerana itulah kesinambungan apa yang anak-anak kita belajar disekolah.
Peranan ibubapa yang sebenarnya tetapi yang telah dipesongkan matlamatnya adalah menyeru anak-anak ke jalan Allah dari segi keimanan dan berterusan memperbaiki sikap anak-anak kearah kebaikan.
Penyampai juga mebentangkan apa ciri-ciri anak yang kita cari sebenarnya dan bagaimana ianya boleh dicapai. Beliau juga mengingatkan agar penggunaan dendaan dipraktikkan tetapi tidak telampau keras. Ini boleh memberi natijah negatif pada tingkah laku anak-anak itu kelak.
Denda perlu dilaksanakan selepas amaran diberi beberapa kali serta pastikan anak-anak faham mengapa perkara itu dilakukan dan impak kalau tidak dilakukan. Contohnya jika anak-anak masih belum selesa solat dan kita denda/rotan mereka apabila cukup 7 tahun, maka ini contoh yang tidak betul. Sepatutnya biasakan mereka untuk solat. Jika lewat kita mengajarnya (contoh 7 tahun baru nak ajar solat), maka amalan denda atau merotan itu perlu dilewatkan contohnya pada umur 9 tahun. Maka 2 tahun adalah masa untuk kita nasihatkan mereka.
Secara kesimpulannya, ibuabapa tidak boleh lepas tangan dalam pendidikan anak-anak. Sertai segala aktiviti yang pihak sekolah adakan. Belajar ilmu keibubapaan yang positif, konsisten dalam mendidik anak dan faham matlamat kita iaitu untuk membentu peribadi muslim pada anak-anak. Selebihnya, kita serahkan kepada Allah kerana kepadaNya lah kita berserah setelah usaha kita lakukan.