Carian entri blog
YB Shafie: Merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa-Guru SRA Seri Putera
Dipetik daripada blog YB Shafie.
Thursday, March 31, 2011
Merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa-Guru SRA Seri Putera
Bandar Seri Putera, 21 Rabiul Akhir = 26 Mac (Sabtu):
Pagi ini Adun Bangi hadir ke Sekolah Rendah Agama Seri Putera bagi merasmikan Mesyuarat Agung Sekolah bagi kali kedua setelah dua tahun Sekolah ini dibuka. Hadir sama ke majlis selain dari Adun ialah Encik Lokman bin Sarip YDP PIBG, Ustaz Khairul Amri bin Jamian Guru Besar yang juga selaku Penasihat PIBG, En. Mohammad Iqbal bin Ismail Naib YDP, AJK, Guru-Guru, Ibu Bapa dan murid-murid.
Penasihat yang juga Guru Besar dalam ucapan alu-aluannya memaklumkan yang bilangan pelajar semakin bertambah menjadi 1,370, iaitu meningkat dua ratus orang berbanding tahun lalu (697 lelaki dan 673 perempuan). Beliau berterima kasih kepada PIBG, ibu bapa dan guru-guru yang memberi kerjasama bagi memajukan Sekolah ini.
YDP PIBG pula maukan PIBG sebagai sebuah persatuan yang aktif, guru-guru yang dedikasi dan rajin dan murid-murid cemerlang. Menurutnya sepanjang setahun PIBG dilantik sebanyak 10 kali diadakan mesyuarat. Sepanjang setahun berbagai-bagai aktiviti diadakan seperti membina papan tanda Sekolah, program Amal Islami, Hari Guru,Khemah Ibadah, gotong royong, bina tempat wudhuk, Ceramah Perdana, Pembinaan tangga di Pondok Pengawal, Sambutan Hari Nuzul al-Qur`an, Jamuan Hari Raya, Bengkel Pemantapan Ibadah, Mengeluarkan Buletin, Hari Kecemerlangan Pelajar, dan Program Hi.Tea. Menurutnya banyak lagi kegiatan mau dibuat.
Adun Bangi dalam ucapan perasmiannya memuji pihak Sekolah dan PIBG yang bekerjasama erat hingga dapat mengadakan berbagai-bagai aktiviti dalam masa yang singkat – setahun. Beliau percaya dengan PIBG yang aktif tidak mustahil Sekolah ini akan muncul menjadi antara Sekolah Rendah Agma terbaik, kalau pun tidak di Selangor, tetapi di Sepang dan Hulu Langat. Adun difahamkan kehadiran ibu bapa pada kali ini merosot berbanding dengan tahun lepas. Tahun lepas hadir seramai 142 orang, tetapi pada tahun ini lebih kurang 80 orang. Walau bagaimana Adun difahamkan pada hari ini juga diadakan mesyuarat ibu bapa buat kali pertama di Sekolah Menengah Kebangsaan yang baru dibuka.. Dengan jumlah guru seramai 20 orang Sekolah ini buat pertama kali melahirkan dua murid mumtaz, 11 jayyid jiddan dan 17 jayyid. Ruang bagi pelajar meningkatkan prestasi mereka masih banyak. Walau bagaimana Adun menyebut, kejayaan tidak bermakna hanya pada pencapaian akademik, tetapi juga pada pembinaan syakhsiah dan akhlak diri. Kita mahu semua murid menjadi orang berjaya di dunia dan akhirat. Dalam majlis dihiasi dengan nasyid dari pasukan Nasyid Sekolah.
Selepas perasmian Adun memakaikan vest untuk pelajar Harapan Mumtaz PSRA 2011 dan Mesyuarat Agung dijalankan. Kita mengharapkan jawatankuasa bakal dipilih akan terus memajukan Sekolah – Insya Allah.
Sekian.